Selasa, 22 Mac 2011

Atmosfera Bumi

Atmosfera ialah lapisan gas yang melitupi sesebuah planet, termasuklah bumi, dari permukaan planet tersebut hingga jauh di luar angkasa. Di bumi, atmosfera boleh didapati dari paras permukaan tanah, hinggalah sekitar 700 km di atas permukaan bumi, dan dikekalkan di tempatnya oleh graviti bumi. Kajian tentang atmosfera mula-mula dilakukan untuk memecahkan masalah cuaca, fenomena pembiasan sinar matahari ketika terbit dan tenggelam, serta kerdipan bintang. Dengan peralatan yang sensitif yang dipasang di kawasan angkasa, kita dapat memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang atmosfera serta fenomena-fenomena yang terjadi di dalamnya.

Atmosfera bumi terdiri dari (mengikut isipadu): nitrogen (78 %) dan oksigen (21 %), dengan sedikit argon (1 %), karbon dioksida, wap air dan gas lainnya. Atmosfera melindungi kehidupan di bumi dengan menyerap radiasi sinaran ultra-lembayung dari matahari dan mengurangkan suhu ekstrem di antara siang dan malam. 75 % dari atmosfera bumi ada dalam 11 km dari permukaan tanah. Atmosfera tidak mempunyai sempadan mendadak, tetapi menipis perlahan-lahan dengan bertambahnya ketinggian, dan tidak ada batas pasti antara atmosfera dan angkasa lepas. Garisan Karman, pada 100 km (62 batu), sering juga digunakan sebagai sempadan antara atmosfera dan angkasa.

Lapisan atmosfera


Atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan, yang dinamai menurut fenomena yang terjadi di lapisan tersebut. Peralihan antara lapisan yang satu dengan yang lain berlaku secara bertahap. Lapisan udara ini boleh dibahagikan kepada:

Troposfera (Troposphere) merupakan lapisan atmosfera yang ternipis dan terhampir dengan permukaan bumi. Troposfera bermula dari permukaan bumi sehingga lapisan tropopause (antara ketinggian 10 - 16 kilometer, bergantung kepada latitud). Dalam lapisan tropopause, suhu berkurangan dengan pertambahan ketinggian altitud, dari sekitar 17oC hingga − 52oC. Kebanyakan sistem cuaca berlaku dibawah lapisan tropopause.

Lapisan ini ialah lapisan di mana campuran gas-gasnya adalah yang paling ideal untuk menampung kehidupan di bumi. Di lapisan ini kehidupan juga terlindung dari pancaran radiasi yang dipancarkan oleh matahari dan objek langit lain.


Stratosfera (stratospere) merangkumi kawasan bermula daripada lapisan troposfera (antara ketinggian 10 - 16 kilometer, bergantung kepada latitud) sehingga lapisan mesosfera (lebih kurang 50 kilometer). Suhu stratosfera meningkat dengan altitud disebabkan kehadiran lapisan ozon pada ketinggian 25 kilometer. Molekul ozon menyerap sinaran ultra-lembayung (uv) dari matahari menyebabkan suhu meningkat pada aras tersebut (maksimum ~270 Kelvin di sempadan atas stratopause), dan pada masa yang sama melindungi bumi daripada sinaran uv.

Mesosfera (Mesosphere) merupakan lapisan udara ketiga, di mana suhu atmosfera akan berkurangan dengan pertambahan altitud sehingga ke lapisan keempat termosfera. Zarah udara yang terdapat di sini akan mengakibatkan pergeseran berlaku dengan objek yang datang dari angkasa dan menghasilkan suhu yang tinggi. Kebanyakan meteor yang sampai ke bumi biasanya terbakar di lapisan ini.

Mesosfera terletak di antara 50 km dan 80-85 km dari permukaan bumi, manakala suhunya berkurang dari 290 K hingga 200 K (18oC hingga − 73oC).

Lapisan Termosfera terletak di atas mesosfera dan di bawah eksosfera. Lapisan ini hanya mempunyai sedikit sahaja udara. Fenomena aurora (tirai cahaya) terhasil di sini hasil tindak balas angin suria dengan medan magnet bumi. Di lapisan ini juga sinaran uv akan menyebabkan pengionan (lihat ionosfera).

Lapisan termosfera bermula kira 80 km di atas permukaan bumi hingga antara 500-1000 km di mana lapisan teratas atmosfera, eksosfera bermula. Suhu di sini amat tinggi akibat sinaran matahari dan aktiviti pengionan, dan boleh mencapai hampir 2000oC.

Eksosfera (Exosphere) adalah lapisan teratas atmosfera bumi, sekaligus merupakan sempadan antara atmosfera bumi dan angkasa lepas. Lapisan ini terletak antara 500-1000 km hingga kira-kira 10,000 km dari permukaan bumi. Boleh dikatakan hampir tiada udara atau gas di lapisan ini.

Satelit yang mengorbit bumi terletak di sini.

(http://ms.wikipedia.org/wiki/Atmosfera)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Beri undi anda berkaitan kepentingan subjek geografi dalam kehidupan individu?

alam kita.........

Geo@FREEDBACK

Name:
Email Address:

Click here to create your own form.